mutakhir

Guna lorong kecemasan punca kemalangan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SIKAP tidak bertanggungjawab segelintir individu yang menggunakan lorong kecemasan untuk mengelak kesesakan lalu lintas mengundang kepada peningkatan kadar kemalangan di lebuh raya.

Pegawai Turus Operasi Lebuhraya Zon Tengah A Jabatan Siasatan dan penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Asisten Superintendan Nasyrul Ridzuan Ab Razak berkata, kesalahan menggunakan lorong kecemasan dilihat sebagai penyumbang utama kemalangan dalam Operasi Selamat 15 (Op Selamat 15).

“Jika dilihat kepada fungsi lorong kecemasan adalah untuk digunakan pihak berkuasa bagi memberi bantuan kepada pengguna jalan raya yang berdepan masalah termasuk kemalangan. Namun, wujud segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan laluan terbabit sesuka hati untuk kepentingan diri sendiri.

“Berdasarkan jumlah kemalangan maut direkodkan bagi tempoh 29 Mei hingga 10 Jun lalu, sebanyak tiga kes direkodkan dalam Op Selamat 15 membabitkan lorong kecemasan di Zon Tengah A meliputi Shah Alam, Selangor hingga Tanjung Malim, Perak.

“Jumlah itu meningkat sebanyak dua kes berbanding hanya satu kes kemalangan maut dilaporkan di zon ini pada Op Selamat 13 membabitkan lorong kecemasan,” katanya ketika ditemui ketika mengetuai pemeriksaan motosikal di Plaza Tol Jalan Duta, di Kuala Lumpur, hari ini.

Nasyrul Ridzuan berkata, peningkatan jumlah kemalangan maut membabitkan lorong kecemasan direkodkan di zon berkenaan amat membimbangkan kerana permasalahan itu boleh dibendung jika ada kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya.

“Dalam usaha mengelakkan kadar kemalangan semakin meningkat, seramai tiga pegawai dan 25 anggota ditugaskan bagi memastikan kelancaran lalu lintas serta memantau kesalahan dilakukan pengguna jalan raya termasuk menyalahgunakan lorong kecemasan.

“Kerjasama daripada orang awam amat diperlukan bagi mengatasi permasalahan ini dengan bertimbang rasa terhadap pengguna jalan raya lain selain melaporkan insiden penyalahgunaan lorong kecemasan yang berlaku di depan mata mereka kepada pihak berkuasa.

“Tanpa kerjasama ini, sukar untuk mengatasi masalah ini seperti kata pepatah, ‘bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan lorong kecemasan diminta menghubungi Pusat Kawalan Trafik PLUS (Lebuhraya Utara-Selatan) di talian 03 78016666 atau hubungi hotline JSPT di talian 03 22734086 untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2019 @ 3:12pm
d