mutakhir

[UPDATE] Abang tak salah!

Oleh Rosli Ilham

ANAK warga emas berusia 73 tahun yang dilaporkan ditinggalkan anaknya di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Besi, Ahad lalu meminta kisah ibunya itu tidak ditularkan lagi.

Melalui hantaran di Facebook, anak warga emas terbabit yang menggunakan nama profil Dora Madie berkata, ketika kejadian, abangnya itu sedang mengalami masalah kesihatan.

“Abang demam ketika itu manakala isterinya tidur di dalam kereta dan mereka tidak sedar ibu keluar dari kereta.

“Bila abang dalam keadaan ‘mamai’ masuk ke dalam kereta dia tak periksa pula mak ada ke tidak dalam kereta,” katanya.

Menurutnya, ibunya itu menghidap penyakit jantung dan buta huruf.

“Bila tahu hal ini, rasa macam nak pengsan dan saya hubungi semua dan kak long beritahu mak dah selamat.

“Polis hubungi sekolah kakak dan dapat bercakap dengan kakak saya serta memaklumkan mak ada di balai polis,” katanya.

Katanya, anak saudaranya kemudian datang ke Balai Polis Bukit Besi mengambil ibunya.

“Abang berpatah balik sebaik sedar mak tiada di belakang dan segera menghubungi anak-anak saudara minta cari mak secepat mungkin di R&R itu.

“Semua ini menjadi pengajaran supaya lebih teliti bila pergi berjalan jauh dengan orang tua yang perlu lebih perhatian,” katanya.

Dora Madie juga berterima kasih kepada anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis yang banyak membantu dan bertindak cepat.

“Terima kasih juga buat semua yang mengambil berat dan doa-doa yang baik. Mak saya dikelilingi anak-anak yang sayangkan dia, tak pernah pun ditinggalkan keseorangan, duduk pun sekali dengan anak lelakinya tiga ‘family’ (keluarga).

“Mana mungkin mereka nak tinggalkan mak tersayang ini dengan sengaja, kawan-kawan mak selalu cemburu anak-anak jaga mak dengan baik.

“Tapi bila Allah SWT hendak bagi ujian siapa kita hendak menghalang kecuaian itu tetap salah bagi kami,” katanya.

Dalam kejadian Ahad lalu, warga emas itu dilaporkan ditinggalkan anaknya selepas dia ke tandas ketika berhenti di R&R Bukit Besi, 8 pagi.

Orang ramai yang menyedari kejadian itu kemudian menularkan kisah warga emas terbabit dan dua anggota JPJ yang kebetulan melalui kawasan itu menghantar warga emas terbabit ke Balai Polis Bukit Besi.

Berita berkaitan

Ibu pula tertinggal di R&R

Disiarkan pada: June 11, 2019 @ 3:30pm
d