mutakhir

Hujan 'batu kerikil'

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

SEORANG lelaki menempuh detik cemas apabila kereta dipandunya dihujani batu kerikil di persimpangan lampu isyarat Pengkalan Nyireh, Jertih, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari, sebuah lori membawa muatan penuh batu kerikil tiba-tiba terbalik sebaik tiba di laluan bersebelahan lampu isyarat menyebabkan batu bertaburan di atas kereta Honda Civic dinaiki lelaki terbabit.

Pemilik kereta, Mohd Zubaidi Mamat, 40, berkata dia dan seorang rakan dikenali sebagai Wan dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Jelapang, Setiu ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Besut di Kampung Kota Putra untuk memperbaharui lesen memandu.

Katanya, sebaik tiba di persimpangan itu, mangsa memberhentikan kereta berikutan lampu isyarat merah.

“Saya buka tingkap untuk menghisap rokok dan ternampak sebuah lori dari arah Kuala Besut menghala ke simpang menuju ke Bukit Keluang bergerak dalam keadaan tidak stabil dan terhuyung-hayang.

“Saya rasa tak sedap hati lalu segera letakkan rokok dan bersedia untuk menekan pedal minyak kerana bimbang lori ini terbalik tetapi tidak sempat buat apa-apa kerana ada kereta di depan.

“Dalam keadaan cemas, saya hanya mampu melihat batu kerikil pelbagai saiz menghujani kereta menyebabkan beberapa bahagian kereta kemek, tingkap retak dan pintu belakang sebelah kanan tidak boleh dibuka,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Zubaidi bersyukur dia dan rakannya selamat dan mereka segera keluar daripada kereta untuk membantu pemandu lori yang terperangkap dalam kenderaan dan mengalami kecederaan ringan.

“Saya membawa pemandu lori naik kereta saya untuk ke Hospital Besut menerima rawatan,” katanya.

Zubaidi berkata, kejadian itu adalah kali pertama dialaminya.

“Saya difahamkan lori ini ada masalah brek dan terlebih muatan menyebabkan pemandu gagal mengawalnya,” katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2019 @ 4:13pm
d