mutakhir

Kereta dibakar angkara khianat?

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop dan Noor Hidayah Tanzizi

LAPAN kereta yang hangus dalam kebakaran di parkir sebuah bengkel di Jalan Maharajalela, Teluk Intan, hari ini, dipercayai angkara khianat.

Ia susulan penemuan bahan bakar dan bekas plastik berada dalam salah sebuah kenderaan yang mempunyai kesan bau bahan bakar.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, siasatan di lokasi kejadian turut menemui kesan potong pada pagar di bahagian kanan premis dipercayai menjadi laluan masuk suspek.

“Premis mempunyai satu jalan masuk sahaja dan pemilik berusia 48 tahun mendakwa dikunci dengan baik sebelum kejadian selain terdapat penjaga di premis berkenaan.

“Penjaga premis memaklumkan hanya menyedari kebakaran jam 5.08 pagi selepas terdengar bunyi penggera kereta dan mendapati api sudah marak sebelum kebakaran berjaya dikawal bomba,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Mohd Marzukhi berkata, premis sudah beroperasi sejak Mac tahun lalu dan lokasi kejadian adalah parkir bagi kenderaan yang akan dibaik pulih melalui tuntutan insurans.

Katanya, selain lapan kereta yang hangus, empat kenderaan lain turut hangus 50 peratus dan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan RM150,000.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui motif sebenar kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd Azroisan Wahab berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.16 pagi.

Menurutnya, seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera dengan bantuan enam anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan digerakkan ke lokasi untuk bantuan.

“Kebakaran membabitkan lapan kereta pelbagai jenis musnah terbakar, namun tiada mangsa terbabit dalam kejadian ini.

“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya sebelum operasi tamat pada jam 6.25 pagi dan setakat ini punca kebakaran masih disiasat,” katanya ketika dihubungi.

Disiarkan pada: June 11, 2019 @ 5:08pm
d