mutakhir

Lelaki Korea, Jepun rugi RM400,000 disamun

Oleh HM Digital

LELAKI Korea dan Jepun kerugian hampir RM400,000 selepas disamun tiga lelaki di Jalan Ampang Ulu, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang, mangsa dikatakan bertemu seorang wanita memperkenalkan diri sebagai ejen hartanah.

Sumber berkata, kedua-dua mangsa berusia lingkungan 40-an dikatakan sedang mencari rumah sewa di sekitar pusat bandar ini.

“Kedua-dua mangsa terbabit kemudian dibawa menaiki sebuah kereta Nissan bersama wanita itu yang konon mahu membawa mereka melihat rumah sewa dijanjikan.

“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan ke lokasi berkenaan wanita itu tiba-tiba memberhentikan kenderaan,” katanya.

Katanya, terdapat sebuah kereta Hyundai menghampiri kereta Nissan itu yang dinaiki tiga lelaki kemudian menerpa ke arah mangsa.

“Berlaku pergelutan antara suspek dengan mangsa mengakibatkan seorang daripada mangsa cedera di muka akibat ditumbuk.

“Suspek kemudian merampas beg galas kedua-dua mangsa yang mengandungi wang tunai 3 juta Baht (hampir RM400,000) sebelum melarikan diri bersama wanita yang memperkenalkan diri sebagai ejen hartanah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian namun enggan mengulas lanjut.

Disiarkan pada: June 11, 2019 @ 6:58pm
d