mutakhir

Harap bukan mayat kakak dalam kotak

Oleh Nurul Amanina Suhaini

“KAKAK saya amat sayangkan anak perempuannya berusia enam tahun. Kami berharap mayat ditemui itu bukan kakak saya yang hilang,” kata adik lelaki kepada wanita yang dibunuh sebelum disumbat di dalam kotak kayu.

Mayat mangsa ditemui polis semalam di Jalan Setia 4/6 dan Jalan Setia 4/9 Taman Setia Indah, Johor Bahru.

Adik lelaki mangsa berusia 29 tahun itu berkata, keluarganya sebelum ini membuat laporan pada 7 Jun lalu selepas kakaknya gagal dijejaki.

Katanya, hingga petang tadi, keluarganya masih menunggu proses pengecaman mayat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Kami berharap mayat ditemui dalam kotak kayu di tepi jalan itu bukan kakak saya yang dilaporkan hilang.

“Hubungan kakak saya dengan kekasihnya (suspek) rapat dan mereka dikurniakan seorang anak perempuan berusia enam tahun yang kini di bawah jagaan ibu saya.

“Saya mengesyaki kakak saya pernah dipukul dan ditendang suspek berdasarkan keadaan fizikalnya yang mempunyai kesan parut lama,” katanya ketika ditemui di bilik mayat HSA, hari ini.

Menurutnya, keluarga pernah melihat parut atau kesan lebam pada tubuh kakaknya tahun lalu sebelum mengajaknya membuat pemeriksaan di klinik berhampiran.

“Isu itu tergantung tanpa penyelesaian kerana kakak kurang berkongsi masalah peribadi, cuma ahli keluarga risaukan keselamatannya apabila gagal menghubunginya sejak 29 Mei lalu,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Bunuh, sumbat mayat kekasih dalam kotak
  • Disiarkan pada: June 11, 2019 @ 7:45pm
    d