mutakhir

Tergamak kau nak sembelih ibu?

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

SEORANG anak tergamak mengugut untuk menyembelih ibu kandungnya sendiri hanya disebabkan wanita itu enggan memberikan wang dimintanya di rumah mereka di Kampung Ara Payang di Batu Gajah, hari ini.

Dalam kejadian 1.15 tengah hari itu, suspek berusia 33 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah membuat ugutan itu sebelum mangsa berusia 71 tahun melarikan diri dan meminta bantuan jiran.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa kemudiannya membuat laporan polis, 2.14 petang sebelum suspek ditahan polis di rumah berkenaan pada 4 petang.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang juga anak kelima itu tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tinggal di rumah berkenaan bersama mangsa.

Menurutnya, suspek juga terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah dan mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kes dadah.

“Kejadian ini adalah kali kedua suspek bertindak mengugut mahu membunuh ahli keluarganya dan kejadian pertama berlaku sebelum Ramadan lalu namun tiada sebarang laporan polis dibuat.

“Ujian air kencing dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis morfin,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: June 11, 2019 @ 8:08pm
d