mutakhir

Curi beg jemaah

Oleh Rosli Ilham

TUNGGU sehingga semua jemaah solat Subuh, sebelum memasuki ruang penyimpanan barang di dalam masjid dan melarikan dua beg tangan milik jemaah wanita.

Itu yang dilakukan seorang pemuda lingkungan usia 20-an untuk mencuri barangan berharga milik jemaah di Masjid Kampung Binjai Kemaman di sini, semalam.

Kegiatannya berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) masjid.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, kejadian dipercayai berlaku pada jam 5.45 pagi ketika jemaah sedang mengerjakan solat Subuh.

“Sebelum itu, suspek dikesan berada di luar pekarangan masjid. Apabila jemaah mula solat, suspek masuk ke ruang solat wanita.

“Dia kemudian ke ruang penyimpanan barang dan bertindak melarikan dua beg tangan milik jemaah wanita itu,” katanya di sini, semalam.

Mohd Said berkata, suspek bertindak menutup separuh mukanya dengan baju yang dipakai bagi mengelak dikenal pasti.

“Mangsa yang menyedari beg tangan mereka hilang kemudian memaklumkan perkara itu kepada pihak pengurusan masjid,” katanya.

Disiarkan pada: June 12, 2019 @ 6:05am
d