mutakhir

16 lokasi tanah ATM diceroboh

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

SEBANYAK 16 lokasi tanah milik Kementerian Pertahanan di lapan negeri dikesan diceroboh dan diduduki secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ia yang dikesan berlaku di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak dijadikan penempatan setinggan, kegiatan pertanian, pembinaan stuktur, rumah ibadat serta kegiatan pembalakan haram.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan semalam berkata, tanah terbabit diceroboh, ada antaranya dijadikan kawasan lapang sasar dan aktiviti maneuver sekali gus sangat berbahaya apabila operasi serta latihan ketenteraan diadakan di situ.

Katanya, pencerobohan yang berlaku juga akan membantutkan perancangan pembangunan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Keseluruhan tanah itu yang antaranya diduduki ATM sebagai tapak kem tentera, tapak lapang sasar serta kawasan perumahan Angkatan Tentera berkeluasan 1.1 juta ekar (445.1 hektar).

“Disebabkan pencerobohan dan pendudukan haram itu, kerajaan mengalami kerugian kerana tanah di kawasan itu tidak memberikan hasil kepada kerajaan,” katanya.

Menurutnya, kerugian berlaku berikutan kesukaran kerajaan mengeluarkan pengusaha tanah secara haram dari kawasan diceroboh.

Katanya, sebelum ini, Kementerian Pertahanan sudah mengambil beberapa tindakan seperti mengemukakan permohonan melaksanakan penguat kuasaan pada Jabatan Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri selain mengeluarkan Notis Pengosongan Tapak kepada pihak penceroboh.

“ATM juga mengambil inisiatif dengan mengeluarkan arahan pengawasan dan kawalan ke atas pencerobohan tanah milik kerajaan Persekutuan bagi kegunaan ATM, namun sukar mengusir pengusaha tanah secara haram berkenaan.

“Justeru, Kementerian Pertahanan akan mengambil beberapa tindakan lain bagi mencegah pencerobohan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya memasang pagar dan papan tanda kawasan larangan atau kawasan tentera serta mewujudkan perjanjian sewaan atau pajakan.

Katanya, selain itu, Kementerian Pertahanan akan memohon perintah mahkamah supaya penceroboh mengosongkan tanah dan perintah kepada pihak berkuasa negeri untuk menjalankan operasi penguat kuasaan serta penyerahan semula tanah kepada JKPTG.

“Semua tanah milik Kementerian Pertahanan diklasifikasikan kepada empat kategori iaitu Tanah Milik Persekutuan, Tanah Rizab Seksyen 62 Kanun Tanah Negara, Tanah Rizab Fasal 166 Perlembagaan Persekutuan dan tanah di Bawah Akta Maneuver 1983.

“Orang awam dinasihatkan tidak menceroboh tanah milik Kementerian Pertahanan. Individu yang berhasrat menyewa tanah milik Kementerian Pertahanan perlu mengemukakan permohonan pada Ketua Pengarah JKPTG,” katanya.

Disiarkan pada: June 12, 2019 @ 6:10am
d