mutakhir

Ditipu 'Kenny Wang' dan 'Kenrina Simamora'

Oleh Shahrinnahar Latib

KERANI dari Rompin menanggung kerugian RM5,500 selepas terpedaya dengan sindiket ‘Parcel Scam’ atau penipuan kiriman bungkusan selepas berkenalan dengan lelaki menerusi media sosial, Instagram.

Mangsa berusia 29 tahun itu berkenalan dengan ‘Kenny Wang’ akhir bulan lalu sebelum berhubung menggunakan aplikasi WhatApp.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, selepas menjalinkan hubungan beberapa minggu, suspek memaklumkan mahu menghantar barang kepada mangsa sebagai hadiah perkenalan.

“Semalam, suspek memberitahu mangsa ingin mengirimkan barang tanpa memberitahu jenis barang yang akan dihantar.

“Tidak lama kemudian mangsa dihubungi suspek wanita yang memperkenalkan diri sebagai ‘Kenrina Simamora’ wakil daripada syarikat penghantaran.

“Suspek kedua ini memberitahu mangsa perlu membayar RM5,500 untuk mendapat barang itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Wazir berkata, tanpa berfikir panjang, mangsa memindahkan wang berkenaan ke akaun bank diberikan suspek.

Beliau berkata, suspek wanita itu sekali lagi menghubungi mangsa memaklumkan perlu membayar RM18,800, kononnya bungkusan dihantar itu mempunyai beberapa masalah dengan kastam.

“Bagaimanapun, mangsa mulai curiga dan tidak memindahkan wang seperti diminta.

“Mangsa juga gagal menghubungi kenalan media sosialnya yang menggunakan nama ‘Kenny Wang’.

“Mangsa yang menyedari menjadi mangsa penipuan membuat laporan polis di Balai Polis Endau, Mersing (Johor) semalam,” katanya.

Mohd Wazir berkata, pihaknya dalam usaha mengenal pasti identiti pemilik akaun bank berkenaan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: June 12, 2019 @ 11:07am
d