mutakhir

Pelajar terjun sungai dikhuatiri lemas

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

PELAJAR dikhuatiri lemas selepas dikatakan terjun ke sungai di Sungai Jeram Besu, Dong, Raub semalam.

Dalam kejadian 4.45 petang itu, Muhamad Muzzafar Shah Mohamad Rozi, 13, beralamat di Kampung Ulu Renggol di sini bersama dua rakannya ke kawasan hutan lipur itu untuk mengambil gambar.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa terjun di sungai yang berkedalaman kira-kira 1.5 meter serta berpasir jerlus sebelum tidak timbul.

“Dua rakan mangsa cuba menyelamatkannya namun gagal.

“Mereka kemudian memaklumkan penduduk di kawasan itu yang kemudian menghubungi pihak berkuasa bagi meminta bantuan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata, usaha mencari dan menyelamat mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sega digerakkan pegawai dan anggota bomba bersama polis pada 8 malam tadi.

Katanya, usaha pencarian dilakukan di kawasan tebing sungai kerana faktor cuaca sudah gelap dan operasi menyelamat diteruskan hari ini.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, operasi mencari dan menyelamat dimulakan hari ini pada 7.40 pagi.

Katanya, operasi turut membabitkan anggota unit pasukan penyelamat di air (PPDA) JBPM Pahang, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang dan penduduk kampung.

“Operasi turut fokus pencarian di sekitar tebing sungai dan permukaan air selain unit PPDA akan melakukan selaman,” katanya.

Disiarkan pada: June 12, 2019 @ 11:21am
d