mutakhir

Berkaki ayam pandu lori

Oleh Zuliaty Zulkiffli

PADAH memandu lori dengan hanya berkaki ayam, pemandu kenderaan berat itu disaman dalam Ops Selamat di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, Alor Setar hari ini.

Selain itu dia turut disaman kerana tayar lori dipandunya dalam keadaan botak.

Lelaki berusia 30-an itu bagaimanapun akur dengan kesalahan yang dilakukan dan menerima saman berkenaan selain memberi alasan kasutnya basah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah, Superintendan Chuah Seong Lim berkata, itu antara kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya dan perlu diambil tindakan bagi mengundang kejadian tidak diingini.

Beliau berkata, pihaknya mengeluarkan saman POL 257 untuk dua kesalahan itu maksimum yang dikenakan RM300 setiap satu saman.

“Kita lakukan operasi di kawasan ini adalah untuk memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya supaya bukan saja di kawasan yang kerap operasi namun kita jalankan di tengah kawasan yang jarang dilakukan supaya pengguna sentiasa beringat dan tidak melakukan kesalahan.

“Sepanjang Ops Selamat 15 dari 29 Mei lalu, kadar kemalangan yang membabitkan kematian di negeri ini menurun kepada 18 kes berbanding 30 kes tahun lalu,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi hari ini.

Katanya, sepanjang tempoh Ops Selamat 15, 8,150 kenderaan diperiksa dengan 4,727 adalah motosikal dan selebihnya kenderaan persendirian serta berat.

Beliau berkata, enam dari 11 daerah di negeri itu mencatatkan kemalangan maut iaitu di Kuala Muda, Kulim, Jitra, Pendang, Kota Setar dan Baling.

“Daripada jumlah itu, lima daripadanya berlaku di kawasan Lebuhraya Utara Selatan yang mana empat daripadanya di kawasan Kuala Muda.

“Selain itu, 11 kes dari 18 kematian yang dicatatkan adalah disebabkan kecuaian manusia seperti terbabas dan langgar belakang,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, pihaknya berpuas hati kerana kemalangan jalan raya tahun ini menunjukkan penurunan berbanding tahun lalu berikutan Ops Lancar yang dilakukan anggotanya iaitu tiga hari sebelum dan selepas musim perayaan berakhir.

Katanya, sepanjang tempoh Ops Selamat, 15,045 saman dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan termasuk cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen dan sebagainya.

Disiarkan pada: June 12, 2019 @ 4:05pm
d