mutakhir

Bukan anggota JPJ yang langgar

Oleh Rosli Ilham

KEJADIAN seorang pemuda yang cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal di Kampung Seberang Pintasan semalam, bukanlah disebabkan dilanggar anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengarah JPJ negeri, Zulkarnain Yasin berkata, ketika kejadian, anggota Unit Penguasa JPJ sedang melakukan rondaan di situ sebelum terserempak dengan seorang remaja berusia 20-an yang menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ secara laju dan berbahaya.

“Anggota kami meminta pemuda itu berhenti ditepi jalan namun dia tidak memberi kerjasama sebaliknya melarikan diri dengan memecut bersama motosikalnya,” katanya.

Katanya, remaja terbabit melarikan diri ke arah Kampung Bijangga sebelum penduduk kampung memaklumkan mereka menemui motosikal terbabit di kawasan itu.

Anggota kami yang dimaklumkan perkara itu pergi ke lokasi kejadian dan ketika sampai, remaja berkenaan tiada di situ.

“Kita percaya penunggang motosikal itu terjatuh dari motosikalnya ketika cuba melarikan diri sebelum meninggalkan kenderaannya di situ,” katanya.

Zulkarnain berkata, pemeriksaan mendapati motosikal itu diubah suai secara haram dan kita percaya ia untuk tujuan perlumbaan.

“Kami menyita motosikal terbabit untuk siasatan lanjut dan satu laporan polis sudah dibuat di IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Dungun.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM2,000,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita yang diragui kesahihannya dan mendapatkan maklumat tepat.

“Tindakan sesetengah individu menyebarkan berita itu dilihat sebagai berniat menjatuhkan kredibiliti jabatan kami,” katanya.

Disiarkan pada: June 12, 2019 @ 4:44pm
d