mutakhir

Maut dihempap mesin lebih 20 tan

Oleh Nurul Amanina Suhaini

SEORANG lelaki tempatan maut akibat dihempap mesin memproses barangan elektrik dalam kejadian di sebuah kilang di Jalan Prima 3, Kawasan Perindustrian Tebrau 4, di sini, hari ini.

Mangsa, Aslan Mohamad Yasin, 41, maut di tempat kejadian apabila mesin seberat lebih 20 tan menghempap dadanya dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah hari tadi, anggota bertugas Balai Polis Bandar Dato Onn menerima panggilan telefon dari pihak bomba yang hadir di lokasi dan melaporkan seorang lelaki meninggal dunia akibat dihempap mesin ketika kerja pemindahan mesin berkenaan.

Katanya, tempat kejadian terletak di sebuah bangunan dalam kawasan kilang yang sudah tidak beroperasi selama dua bulan dan pengurusan kilang itu melantik sebuah syarikat untuk memindahkan mesin ke bahagian lain di dalam kilang sama.

“Pada jam 10.30 pagi, mangsa yang juga seorang penyelia bertindak seperti diarahkan syarikatnya bersama tiga pekerja lain termasuk adik kandungnya, tiba di tempat kejadian dan mula menjalankan kerja memindahkan mesin ke bahagian lain.

“Pada jam 11.30 pagi, ketika kerja-kerja pemindahan mesin dijalankan, mesin seberat 20 tan yang dialaskan menggunakan tiga unit papan beroda secara tiba-tiba tumbang.

“Tiga rakan mangsa termasuk adiknya berjaya menyelamatkan diri, manakala mangsa gagal melarikan diri dan dihempap mesin terbabit di bahagian dada,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shahurinain berkata, pihak ambulans dari Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, mengesahkan kematian mangsa di lokasi, selain mayat dihantar ke Unit Forensik HSI untuk bedah siasat dan siasatan mendapati tiada unsur jenayah atau sabotaj serta kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau, Saiful Bahri Safar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.13 tengah hari tadi.

Katanya, sejurus menerima panggilan, pihaknya menggerakkan seramai 10 anggota bersama tiga jentera termasuk van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian.

“Kami mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan di lokasi, mayat mangsa diserahkan kepada polis dan dibawa ke HSI sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.50 petang,” katanya di sini, hari ini.

Disiarkan pada: June 12, 2019 @ 6:13pm
d