mutakhir

Kejutan pulang dari kedai

Oleh Mary Victoria Dass

“TUBUH saya menggigil apabila melihat bayi perempuan di dalam beg di bawah pokok dalam semak berhampiran rumah,” kata Paridah Johuran, 53.

Surirumah itu berkata, kejadian berlaku pada 10.30 pagi hari ini di tepi jalan berhampiran Flat Sri Anugerah, Larkin, ketika berjalan pulang dari kedai serbaneka dengan jarak bayi ditemui dari rumahnya hanya kira-kira 500 meter.

“Sebenarnya, saya sudah melepasi lokasi itu namun berpatah semula ke tempat kejadian sebelum ternampak beg berwarna putih corak merah jambu di tepi jalan. Pada awalnya, saya menyangka anak kucing dibuang di dalam beg itu kerana melihat ada pergerakan.

“Bagaimanapun, saya tidak sedap hati dan meminta bantuan seorang pekerja bengkel berhampiran untuk mendapatkan beg itu kerana ia benar-benar berhampiran longkang.

“Apabila dia serahkan beg itu kepada saya, saya membukanya dan menggigil apabila mendapati objek di dalamnya adalah bayi dipercayai berusia kurang seminggu kerana masih bertali pusat dan mempunyai kesan gigitan semut di pipinya,” katanya ketika dihubungi.

Paridah berkata, dia hanya mampu mengucap dan sedih dengan nasib menimpa bayi itu kerana jika lambat diselamatkan, nyawanya mungkin diancam haiwan berbisa atau anjing liar yang berkeliaran di kawasan berkenaan.

“Saya bersyukur kerana Allah memberi saya peluang dan rezeki menyelamatkan nyawanya dan berdoa supaya bayi berkenaan mendapat perlindungan dan membesar sebagai insan soleh. Saya tidak pasti siapa ibu dan bapa kandung bayi berkenaan namun berharap dia dibesarkan dengan penuh kasih sayang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, seorang pengadu membawa bayi itu ke bengkel dan membersihkannya serta memberi susu.

Katanya, bayi berusia tiga hari itu dalam keadaan sihat dan baik ketika ditemui.

“Bayi dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan dan kini dalam penjagaan hospital, kami juga sudah memaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu menghubungi Hot Line JBS 07 2218999 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Masitah Ali Murtada di talian 013 3721458 atau balai polis berhampiran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berusia kurang 12 tahun mendedahkan dan membuang kanak-kanak itu, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua duanya,” katanya.

Disiarkan pada: June 12, 2019 @ 6:24pm
d