mutakhir

Akaun misteri SRC International

Oleh Murni Wan Omar

BEKAS Ahli Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Tan Sri Ismee Ismail mengakui bahawa Ahli Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd (SRC International) tidak mengetahui berhubung kewujudan akaun misteri syarikat di AmBank Islamic.

Saksi ke-39, yang juga bekas Ahli Lembaga Pengarah SRC International, Tan Sri Ismee Ismail berkata, mereka tidak mengetahui berhubung akaun bank yang berakhir dengan nombor 736 yang didaftarkan atas nama syarikat pada 2011.

Menjawab soalan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Ismee mengesahkan bahawa akaun itu tidak berada di bawah kawalan lembaga pengarah syarikat.

Ismee mengakui bahawa Ahli Lembaga Pengarah SRC International tidak pernah dimaklumkan berhubung kemasukan wang berjumlah RM2 bilion oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) ke dalam akaun misteri itu.

Ketika dirujuk penyata bank akaun itu, Ismee mengesahkan bahawa wang itu dimasukkan pada 29 Ogos 2011 dan dikeluarkan pada tarikh yang sama.

Menurutnya, ahli lembaga pengarah juga tidak mengetahui dana itu dikeluarkan daripada syarikat itu.

Ismee berkata, akaun itu mempunyai empat penandatangan sah termasuk Nik Faisal dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Terdahulu Ismee bersetuju bahawa Nik Faisal tidak pernah memaklumkan kepada mereka bahawa beliau memohon kepada KWAP untuk memindahkan RM2 bilion ke dalam akaun AmBank milik SRC International.

Najib, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

TAMAT.

Disiarkan pada: June 12, 2019 @ 8:43pm
d