mutakhir

BN kekal di Jasin [METROTV]

Oleh Murni Wan Omar

MAHKAMAH Khas Pilihan Raya, Kuala Lumpur, mengekalkan kemenangan Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Hamzah bagi Parlimen Jasin dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Hakim Datuk Abu Bakar Jais membuat keputusan itu selepas menolak petisyen pilihan raya yang dikemukakan oleh calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Batu Kawan.

Hakim Abu Bakar memutuskan bahawa kemenangan Ahmad pada PRU-14 yang lalu adalah sah dan tidak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Mahkamah memerintahkan Khairuddin membayar kos sebanyak RM200,000 kepada Ahmad dan RM200,000 lagi kepada pengurus pilihan raya, Zamrud Yahya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku responden kedua dan ketiga.

Terdahulu, ketika membaca penghakimannya selama dua jam, Hakim Abu Bakar berkata Khairuddin gagal membuktikan bahawa berlaku ketidakpatuhan sehingga mempengaruhi keputusan pilihan raya pada 9 Mei 2018.

“Khairuddin mendakwa berlaku pindaan terhadap Borang 14, namun ia sudah dijelaskan melalui keterangan saksi ketika perbicaraan. Saksi juga ada memberi keterangan bahawa tiada pihak memberi bantahan terhadap pindaan yang dibuat hadapan mereka itu.

“Beliau (Khairuddin) mendakwa ia berlaku di 18 pusat pengundian. Bagaimanapun sebenarnya Ahmad tetap akan menang pada pilihan raya ini dan boleh menang besar dengan kelebihan undi majoriti,” katanya.

Ahmad hadir diwakili peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, manakala Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili pegawai pengurus pilihan raya dan SPR.

Khairuddin pula diwakili peguam V Muniandy.

Disiarkan pada: June 12, 2019 @ 9:35pm
d