mutakhir

Terpaksa gigit tangan anak

Oleh Hadzlihady Hassan

SEORANG ibu terpaksa menggigit tangan anaknya selepas lehernya dicekik lelaki itu yang mengamuk di rumah mereka di Penaga, Kepala Batas, semalam.

Ibu berusia 60 tahun itu yang tidak tahan dengan perangai anak lelakinya yang kerap mengamuk kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisoner Noorzainy Mohd Noor berkata, susulan daripada laporan itu, polis menahan lelaki berusia 36 tahun itu pada jam 4 petang.

Menurutnya, dalam kejadian 9.30 pagi itu, suspek pulang ke rumah dan melepaskan motosikal ditunggang hingga hampir terkena ibunya.

“Suspek kemudian mencekik leher ibunya dan mengugut mahu membunuh mangsa serta memberitahu tiada sesiapa yang mampu menolongnya.

“Mangsa bernasib baik apabila dia berjaya meloloskan diri selepas menggigit tangan anaknya itu,” katanya.

Noorzainy berkata, siasatan mendapati kejadian ini bukan kali pertama berlaku dan suspek kerap mengamuk kerana berada di bawah pengaruh dadah.

“Ketika kejadian mangsa berada di rumah bersama anak bongsu lelakinya. Mangsa mengalami kecederaan di punggung ketika bergelut dengan suspek.

“Suspek didapati positif dadah dan hasil pemeriksaan mendapati dia mempunyai empat rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah,” katanya.

Menurutnya, suspek direman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: June 13, 2019 @ 10:43am
d