mutakhir

Dibelasah kerana minta hutang

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

HANYA kerana meminta hutang, lelaki Rohingya cedera dibelasah sekumpulan lelaki yang juga kenalannya di Jabor, Kuantan baru-baru ini.

Mangsa turut diancam bunuh jika masih menuntut hutang yang berjumlah hampir RM3,000.

Menurut sumber, kejadian bermula apabila mangsa memberikan wang kepada rakannya pada 2015 dan menuntut wang itu beberapa kali hingga April tahun ini namun tidak diendahkan lelaki itu.

Sumber berkata, berang dengan tindakan mangsa yang juga lelaki berusia 29 tahun sering ke rumahnya meminta hutang, suspek kemudian bersama beberapa rakannya membawa mangsa ke kawasan hutan di Jabor hujung April lalu sebelum memukul dan mengugut mahu membunuh lelaki itu.

“Mangsa turut ditinggalkan di kawasan tepi jalan raya selepas dibelasah.

“Beberapa minggu kemudian mangsa menceritakan kejadian itu kepada rakan sekerjanya yang kemudian membawa mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Ahad lalu,” katanya.

Sumber berkata, berdasarkan keterangan mangsa kepada pegawai penyiasat, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuantan menyerbu sebuah rumah di Sungai Karang 2, di sini 6 petang hari sama selepas mangsa membuat laporan sebelum menahan dua suspek.

Menurut sumber, dua lelaki Rohingya berusia 35 dan 45 tahun ditahan kerana dipercayai menjadi dalang menculik sebelum membelasah mangsa di kawasan hutan itu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Othman Nanyan ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua suspek terbabit.

“Mereka sudah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

“Siasatan lanjut masih diteruskan jika terdapat rakan jenayah suspek yang masih bebas,” katanya.

Difahamkan dua suspek terbabit mempunyai rekod lampau berkaitan ugutan jenayah dan mencederakan individu sebelum ditahan.

Othman berkata, dua suspek itu direman hingga 22 Jun ini bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: June 13, 2019 @ 2:12pm
d