mutakhir

R&R ditutup sementara bagi kurangkan kesesakan

Oleh Mohamad Hussin

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjelaskan penutupan sementara Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan Hentian Sebelah sewaktu musim perayaan Aidilfitri lalu adalah untuk mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan.

Ketua Perhubungan Korporat, Komuniti dan Awam PLUS, Syed Mohammed Idid berkata, pihaknya mengambil maklum kesesakan yang berlaku di lebuh raya kendaliannya.

Beliau berkata, sebahagian daripada kolaborasi di antara PLUS, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ialah untuk membantu pelanggan lebuh raya menikmati perjalanan yang lancar.

“PLUS terpaksa menutup R&R Sungai Perak dan Hentian Sebelah Simpang Pulai secara berkala pada 9 Jun lalu ketika orang ramai bergerak pulang ke Lembah Klang.

“Langkah ini diambil bagi mengelak kenderaan terus beratur panjang di laluan masuk ke R&R dan Hentian Sebelah berkenaan selain menghalang laluan dan perjalanan kenderaan di laluan utama lebuh raya.

“Kedua-dua kawasan rehat berkenaan dibuka semula serta-merta kepada pelanggan selepas keadaan trafik sedikit terkawal,” katanya pada kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengulas cadangan penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob yang tular di media sosial, baru-baru ini yang meminta PLUS menambah lebih banyak tandas bergerak.

Syed Mohammed berkata, perjalanan balik ke ibu kota pada Ahad lalu menyaksikan lebih daripada 1.7 juta kenderaan yang mana sebahagian besarnya dari utara yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan.

“Justeru, PLUS membuat persediaan menghadapi lonjakan trafik dengan menyediakan tandas tambahan di beberapa kawasan rehat utama.

“Selain itu, tandas awam serta surau turut disediakan di plaza tol sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan,” katanya.

Menurutnya, PLUS memahami kesukaran dialami pengguna lebuh raya dan melahirkan rasa kesal dengan kesesakan yang berlaku di di lebuh raya berkenaan, Ahad lalu.

Selasa lalu, Harian Metro melaporkan Fazley berkongsi pengalaman isterinya, Datin Azrene Ahmad terpaksa buang air kecil di tepi lebuh raya akibat kesesakan lalu-lintas yang melampau.

Beliau dilaporkan berkata, perkara sama turut dialami beberapa pengguna lebuh raya yang terpaksa berhenti di tepi jalan untuk buang air kecil.

Fazley berkata, mereka dalam perjalanan pulang dari utara ke Kuala Lumpur dan apabila sampai di Hentian Sungai Perak ia sudah ditutup.

Berita berkaitan

Tambah lebih banyak tandas bergerak - Datuk Fazley

Disiarkan pada: June 13, 2019 @ 2:48pm
d