mutakhir

Kejamnya suamiku!

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

DICUCUH puntung rokok selain dipukul menggunakan penyapu, penyangkut baju dan rotan bulu ayam di beberapa bahagian badan.

Itu nasib malang dilalui isteri apabila dibelasah suaminya tanpa belas kasihan selepas lelaki itu dikatakan mengesyaki mangsa menjalinkan hubungan sulit di Taman Saga Damai, Mentakab, Temerloh Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, dalam kejadian 7 malam itu lelaki berusia 32 tahun terbabit memarahi isterinya sebelum mengeluarkan kata-kata kesat.

“Berlaku perselisihan faham antara suspek dan isterinya yang berusia 29 tahun sebelum wanita itu dipukul dan tangan kanannya dicucuh dengan puntung rokok.

“Siasatan awal mendapati suspek mengesyaki isterinya menjalinkan hubungan sulit selepas dikatakan membaca kiriman WhatsApp seorang lelaki kepada isterinya.

“Berikutan itu berlaku pertengkaran yang membawa kepada kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zundin berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis semalam di Balai Polis Mentakab sebelum suspek yang juga seorang kontraktor ditahan.

Katanya, suspek ditahan beberapa jam selepas laporan diterima pihaknya di sekitar Mentakab dan pihaknya turut merampas senjata yang digunakan suspek untuk memukul mangsa.

Beliau berkata, mangsa sudah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) untuk menjalani rawatan dan pemeriksaan kesihatan.

“Berdasarkan pemeriksaan awal mangsa mengalami kecederaan lebam di beberapa bahagian badan, lebam mata kanan dan lebam tangan kanan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Disiarkan pada: June 13, 2019 @ 2:57pm
d