mutakhir

Nak kena libas dengan kipas bot ke?

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

SUNGAI Melaka di Bandar Hilir hanya untuk aktiviti rekreasi bagi laluan perjalanan operasi bot Melaka River Cruise dan bukannya untuk tujuan bermandi-manda.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Azlan Abidin berkata, pihaknya terkejut apabila mendapati satu klip video tular sejak malam tadi di laman sosial Facebook memaparkan pengunjung menggunakan sungai itu untuk mandi berhampiran premis walaupun papan tanda larangan sudah dipasang.

“Sungai Melaka adalah kawasan larangan mandi disebabkan operasi bot Melaka River Cruise dan memang ada papan tanda larangan kerana tidak mahu berlaku sebarang kemalangan di sepanjang sungai.

“Jadi, kita nasihatkan kepada orang ramai supaya patuh kepada prosedur di sepanjang sungai. Setiap aktiviti dijalankan di sepanjang sungai perlu mendapat kelulusan PPSPM atau pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai video tular berdurasi 11 saat itu memaparkan sekumpulan pengunjung termasuk pelancong asing terjun ke Sungai Melaka untuk bermandi-manda di siang hari.

Azlan berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati kejadian itu berlaku pada Januari tahun lalu.

“Berdasarkan siasatan di lokasi, seorang daripada individu dalam video berkenaan adalah pemilik cendol di premis berhampiran tempat kejadian dan memaklumkan (mandi) sebagai simbolik meraikan pembukaan kedai cendol.

“Bagaimanapun, jika berlaku lagi, kami akan membuat laporan polis terhadap mereka (pihak premis) supaya bertanggungjawab. Sungai Melaka antara pelancongan utama dan tidak mahu unsur sebegini mencetuskan salah faham masyarakat,” katanya.

Oktober tahun lalu, PPSPM membuat laporan polis menafikan berlaku penganjuran pesta bogel di pesisiran Sungai Melaka susulan klip video berdurasi 15 saat dirakam orang ramai memaparkan aksi liar kira-kira lima lelaki dan wanita dalam keadaan berbogel sedang berseronok di kaki lima berhampiran sebuah kafe di sungai itu.

Laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah itu dibuat Azlan sendiri selepas dimaklumkan pemilik kafe bahawa pelancong Eropah itu dalam keadaan mabuk melalui kawasan itu selain mencabar antara satu sama lain untuk terjun ke dalam sungai dan mula menanggalkan pakaian masing-masing.

Sementara itu, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, pihaknya tidak menggalakkan pengunjung menggunakan sungai itu untuk tujuan mandi dan berenang meskipun memberi jaminan air sungai itu bersih dan selamat.

“Sungai ini untuk pelancongan, bukan sungai kampung untuk kegunaan awam (mandi). Ada trafik bot lalu, jika kemalangan berlaku, siapa yang nak bertanggungjawab,” katanya turut menasihatkan supaya penyebaran video yang boleh mengundang salah faham masyarakat dihentikan.

Disiarkan pada: June 13, 2019 @ 3:29pm
d