mutakhir

Penjara 28 bulan belasah mekanik

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

SEORANG buruh yang memukul seorang mekanik sehingga parah kerana tidak puas hati dengan caj membaiki kereta dijatuhi hukuman penjara 28 bulan di Mahkamah Majistret, Kuala Terengganu, hari ini.

Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Che Azhar Che Kas, 56, dari Hulu Takir, Seberang Takir, Kuala Nerus, yang didapati bersalah mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, Che Azhar didakwa dengan sengaja menyebabkan parah terhadap Mohd Rizal Abdul Mubin, 52, di sebuah bengkel membaiki kereta di Lorong Haji Su, kira-kira jam 3.30 petang 9 Mei 2018.

Mengikut fakta kes, tertuduh menghantar kereta jenis Suzuki Swift kepada mangsa untuk dibaiki kira-kira dua bulan sebelum kejadian.

Bagaimanapun, ketika mahu mengambil semula kenderaannya, tertuduh tidak puas hati apabila caj dikenakan RM500 kerana mendakwa terlalu tinggi.

Tertuduh hanya bersetuju membayar RM300 menyebabkan berlaku berlaku pergaduhan antara mereka.

Dalam pergaduhan itu, mangsa dipukul menggunakan pasu bunga dan batu di kepala selain turut ditendang di muka dan badan serta kaki dan tangan diikat dawai besi.

Kejadian menyebabkan mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mendapatkan rawatan dan doktor mengesahkan mangsa patah tulang rusuk kiri serta luka di kepala.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Disiarkan pada: June 13, 2019 @ 6:08pm
d