mutakhir

Mengaku curi televisyen

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

SEORANG pembantu kedai makan dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan dan denda RM1,000 kerana mencuri televisyen berharga RM830 di sebuah kedai membaiki telefon di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.

Majistret Noor Mazrinie Mahmood menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd Sukri Ab Rahman, 43, dari Kampung Bukit Kecil selepas mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama seorang lagi masih bebas memecah masuk kedai membaiki telefon di Bazar Maidam Jalan Bukit Kecil antara jam 10 malam 4 Jun lalu hingga 9 pagi 9 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengambil televisyen jenama Panasonic milik Wan Zaqwan Wan Abdul Razak, 27, bernilai RM830.

Mengikut fakta kes, kejadian hanya disedari pemilik kira-kira jam 9 pagi Ahad lalu (9 Jun) ketika mahu membuka kedainya selepas menutup operasi sejak 4 Jun sempena Aidilfitri.

Mangsa mendapati kunci mangga hilang dan menemui kesan umpil pada pintu jeriji kedai, sebelum membuat pemeriksaan dan mendapati televisyen di dalam kedainya hilang dipercayai dicuri.

Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis dan tertuduh ditangkap kira-kira jam 12.10 tengah hari, Isnin lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara tambahan sebulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Disiarkan pada: June 13, 2019 @ 6:40pm
d