mutakhir

Penuntut UTHM maut kemalangan

Oleh Ahmad Ismail.

PENUNTUT Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Batu Pahat, Muhammad Arif Abdullah, 23, maut apabila motosikal Yamaha 150Y ditunggangnya bertembung kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 153 Jalan Johor Bahru - Seremban di Labis, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, mangsa yang cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu kenderaan pacuan empat roda yang juga seorang lelaki berusia 28 tahun dari arah Chaah ke Labis bertembung dengan mangsa dari arah bertentangan.

“Hasil siasatan, kami dapati pemandu kenderaan itu memasuki laluan bertentangan kerana mahu memintas kenderaan di hadapannya. Belum sempat memintas kenderaan itu, tiba-tiba mangsa tiba dari arah bertentangan dan tidak sempat mengelak menyebabkan mereka bertembung.

“Akibat pertembungan itu, mangsa tercampak di atas jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mangsa cedera parah di kepala manakala pemandu berkenaan tidak mengalami kecederaan.

“Punca kemalangan disebabkan kecuaian pemandu kenderaan empat roda itu dan pemandu ini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Menurutnya, mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Segamat untuk bedah siasat dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: June 13, 2019 @ 7:07pm
d