mutakhir

Tak patuhi SOP punca kematian baharu wabak rabies

Oleh Melvin Joni

TIMBALAN Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas kecewa dengan kematian mangsa baharu wabak rabies yang dikaitkan dengan kecuaian doktor mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Justeru, beliau menggesa KKM untuk menjalankan siasatan kes berkenaan dan memastikan SOP yang ditetapkan dipatuhi oleh semua pengamal perubatan.

Katanya, SOP itu menetapkan semua pengamal perubatan supaya bertindak balas terhadap sebarang kes membabitkan gigitan anjing dengan segera menghantar atau merujuk pesakit gigitan anjing ke Klinik Rabies di Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Saya sangat kecewa kerana dilaporkan doktor yang merawat mangsa gagal merujuknya ke Klinik Rabies dengan segera,” katanya dalam kenyataan, petang hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, ini menjadi kes kedua di Sarawak yang mana doktor gagal merujukkan pesakit gigitan anjing mereka ke Klinik Rabies.

“Saya mengucapkan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa.

“Kes kecuaian seperti ini sangat serius dan tidak sepatutnya berlaku. Adalah sangat penting bagi doktor untuk mematuhi SOP yang ditetapkan oleh KKM,” katanya.

KKM dalam kenyataan hari ini mengesahkan mangsa terbaru rabies, wanita berusia 61 tahun meninggal dunia ketika dalam rawatan di wad HUS pada Rabu lalu, 10.47 malam, semalam.

Warga emas yang berasal dari Pending itu disahkan jangkitan rabies melalui ujian makmal yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 12 Jun lalu, beberapa jam sebelum dia meninggal dunia.

“Kes ini mempunyai sejarah digigit anjing liar pada ibu jari tangan kanannya, 29 April lalu.

“Ia berlaku semasa mangsa cuba menghalau anjing itu yang sentiasa menyalak kepadanya,” katanya.

Menurut kenyataan itu, mangsa juga dikatakan sudah mencuci luka itu selama lima minit dan terus mendapatkan rawatan di klinik komuniti berhampiran rumahnya dan diberi temu janji seminggu kemudian.

Bagaimanapun, dia tidak mendapatkan rawatan susulan seperti yang ditetapkan kerana berpendapat bahawa luka pada jarinya sudah sembuh.

Kes ini menjadikan 18 kematian daripada 19 kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak sejak pengisytiharan wabak pada 1 Julai 2017 sehingga 12 Jun 2019.

Daripada 19 kes, tiga kes dilaporkan tahun ini.

Disiarkan pada: June 13, 2019 @ 8:17pm
d