mutakhir

Hindari sebarang bentuk fitnah- Mufti WP

Oleh Idris Musa

“SEBARANG bentuk fitnah perlu dihindari serta sentiasa insafi saudara seagama adalah sejuzuk daripada diri sendiri,” kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri mengingatkan umat Islam.

Katanya, fitnah berlaku dalam dua keadaan iaitu pertama, apabila seseorang mengada-adakan suatu berita mengenai seseorang lalu menyebarkannya kepada orang lain dengan tujuan untuk memburuk-burukkan atau menjatuhkan maruah orang terbabit.

"Kedua, apabila seseorang menerima berita mengenai seseorang tanpa menyelidiki kesahihannya lalu menyebarkannya kepada orang lain sama ada dengan niat untuk memburuk-burukkan atau tidak.

"Dalam kedua-dua situasi inilah fitnah berlaku dan ia dilihat berleluasa sekali dalam masyarakat kita pada hari ini," katanya dalam penjelasan Bayan Linnas dimuat naik di laman web rasminya, hari ini.

Penjelasan itu dibuat susulan tersebarnya video intim membabitkan individu yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata ada beberapa faktor yang menyumbang kepada fitnah sesuai dengan kategori orang itu, sama ada dia adalah pereka fitnah atau semata-semata sebagai penyebar.

"Bagi pereka fitnah, banyak faktor yang boleh diandaikan seperti persaingan dalam merebut sesuatu sama ada meraih jawatan, mendominasi perniagaan, kepentingan politik, kedengkian terhadap kelebihan orang lain dan pelbagai lagi.

"Pokok pangkalnya fitnah terbit daripada hati seseorang yang kotor, bermasalah dan tidak dibenteng dengan iman yang teguh," katanya.

Mengenai liwat pula katanya, ulama bersepakat pengharaman perbuatan itu dan menyatakan antara sebesar-besar perbuatan keji.

"Menurut mazhab jumhur ulama, tuduhan liwat ke atas seseorang adalah kesalahan qazaf, jika tidak dibuktikan dengan empat orang saksi lelaki atau pengakuan ikrar orang yang dituduh," katanya.

Beliau berkata, dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut bahawa haram ke atas seorang Muslim untuk menuduh saudara seislamnya dengan tuduhan melakukan perbuatan yang keji sama ada tuduhannya itu benar ataupun dusta dari pihak dirinya.

"Dalam keadaan dusta, sesungguhnya hal itu adalah suatu fitnah dan kezaliman dan pendustaan adalah antara perkara haram yang paling keji.

"Manakala, dalam keadaan tuduhan itu benar, seseorang itu membuka perkara yang tersembunyi serta mencemarkan maruah. Oleh yang demikian, syarak menganggap perbuatan qazaf termasuk antara dosa besar," katanya.

Disiarkan pada: June 13, 2019 @ 11:07pm
d