mutakhir

Bazir makanan 900 tan sehari

Oleh Noorazura Abdul Rahman

ALOR SETAR: Pembaziran makanan di Kedah dan Perlis masih di tahap tinggi dengan mencatatkan 900 tan sehari atau 27,000 tan sebulan sepanjang Ramadan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Environment Idaman Sdn Bhd (E-Idaman), Mhd Shaiful Anuar Zainal berkata, peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding hari biasa itu menunjukkan kesedaran masyarakat masih di takuk lama.

Katanya, jumlah pembaziran itu tidak menurun sejak beberapa tahun lalu dan ia disumbangkan menerusi bufet dari hotel, bazar Ramadan serta rumah.

“Kita belum mencapai matlamat dalam kempen kesedaran untuk mengurangkan pembaziran seterusnya mengurangkan sisa makanan ke tapak pelupusan.

“Jumlah sisa makanan itu adalah 45 peratus daripada sisa pepejal dihasilkan di Kedah dan Perlis yang turut meningkat 20 peratus iaitu daripada 1,800 tan pada hari biasa kepada 2,000 tan sehari sepanjang Ramadan,” katanya selepas Majlis Rumah Terbuka E-Idaman di Stargate, semalam.

Mhd Shaiful berkata, bagi mengurangkan kadar pengurangan sisa pepejal ke tapak pelupusan, pihaknya akan menambah 18 Pusat Komuniti Lestari di Kedah dan Perlis.

Pusat itu akan dibuka secara berperingkat dalam usaha membangunkan sistem pengurusan sisa pepejal bersepadu yang mampu mengurangkan kos pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

“Setakat ini kami ada empat pusat berkenaan iaitu di Taman Tunku Sarina di Jitra, Taman Angkasa Kulim, Pulau Tuba Langkawi dan Yan. Semua pusat itu sudah beroperasi kecuali di Yan yang akan beroperasi tidak lama lagi.

“Pada masa sama, kami akan lantik 18 usahawan muda di bawah umur 35 tahun untuk menguruskan pusat ini dengan bimbingan daripada E-Idaman dan SME Bank,” katanya.

Disiarkan pada: June 14, 2019 @ 5:30am
d