mutakhir

Pemuda lumpuh separuh badan nekad bangkit

Oleh Syaherah Mustafa

KOTA BHARU: Berpegang kepada pepatah alah bisa tegal biasa, seorang pemuda lumpuh separuh badan selepas diserang angin ahmar pada usia muda nekad bangkit meneruskan kehidupannya.

Meskipun fizikalnya sudah tidak sekuat dulu, Zaid Ab Rahman, 35, kini mampu bekerja kembali sebagai kerani sejak September tahun lalu.

Katanya, tidak mempunyai masalah untuk bertugas walau bahagian kanan badannya masih belum pulih sepenuhnya.

“Saya diserang angin ahmar pada Jun 2017 secara tiba-tiba selepas mengalami sakit kepala kronik dan muntah selama seminggu.

“Ketika itu, saya hanya terbaring dan tidak boleh bercakap. Badan kanan lumpuh. Semangat untuk hidup semakin pudar namun, saya tabahkan hati demi isteri (Zuliana Abd Rahman, 37) dan dua anak berusia lapan dan 10 tahun.

“Alhamdulillah, hasil rawatan fisioterapi dan mengamalkan urutan tradisional, saya sudah boleh bercakap dan mampu berjalan biarpun tidak sekuat dulu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Kemumin, Pengkalan Chepa, di sini baru-baru ini.

Zaid berkata, setiap hari isterinya akan mengambil dan menghantarnya ke tempat kerja dengan menunggang motosikal.

Katanya, Zuliana terpaksa berhenti kerja sebagai kerani kilang kerana menjaganya dan anak bongsu mereka yang kurang upaya dan sering diserang sawan.

“Saya bersyukur memiliki isteri yang sangat baik dan kuat semangat untuk membantu memulihkan saya sehingga dapat bekerja kembali. Dia menjadi tulang belakang untuk saya bangkit dan kuat, biarpun diuji dengan sakit begini,” katanya.

Ucapan penghargaan juga diucapkan buat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atas sokongan sehingga dia pulih dan boleh bekerja.

Disiarkan pada: June 14, 2019 @ 6:00am
d