mutakhir

Anak saudara tak kenang budi

Oleh Farah Suhaidah Othman

REMAJA perempuan ditahan polis selepas dipercayai melarikan barang kemas milik ibu saudaranya bernilai RM10,000 di Kampung Baru Chenderong, Batu Gajah, semalam.

Suspek berusia 16 tahun yang tidak lagi bersekolah ditahan di sebuah rumah di Taman Puncak Jelapang, Ipoh, jam 1.30 petang.

Difahamkan, barangan kemas milik ibu saudaranya yang dicuri itu juga sudah digadai suspek.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 63 tahun yang menyedari barang kemas pusaka miliknya hilang jam 4.20 pagi semalam.

Katanya, mangsa mengesyaki rantai emas bernilai RM8,000 dan loket emas bernilai RM2,000 dicuri anak saudaranya.

“Siasatan awal mendapati barang kemas berkenaan diletakkan di dalam kotak dan disimpan dalam almari bilik tidur utama rumahnya.

“Kali terakhir mangsa melihat barang kemas berkenaan seminggu sebelum suspek keluar dari rumah tanpa pengetahuannya,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Ahmad Adnan berkata, siasatan mendapati suspek tinggal di rumah mangsa sejak tiga bulan lalu selepas keluar dari rumah ibu bapanya di Jelapang.

“Susulan kejadian itu, polis menahan suspek di sebuah rumah di Jelapang dan soal siasat mendapati suspek mengaku dia mencuri barang kemas berkenaan.

“Hasil soal siasat juga mendapati suspek menggadaikan semua barang kemas terbabit di sebuah kedai pajak gadai di Silibin, pagi semalam,” katanya.

Ahmad Adnan berkata, pihaknya akan memohon perintah reman hari ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: June 14, 2019 @ 9:57am
d