mutakhir

Pasangan kaki syabu

Oleh Melvin Joni

PASANGAN kekasih ditahan selepas didapati memiliki 31.66 gram dadah jenis syabu dalam serbuan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, di Jalan Kung Phin, Kuching, semalam.

Ketua JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Superintendan Sahar Abd Latif berkata, pasangan terbabit yang menganggur menetap di bilik sewa turut positif dadah jenis syabu dan amphetamine.

Beliau berkata, nilai rampasan dadah dirampas daripada pasangan terbabit dalam serbuan pada jam 12 tengah hari dianggarkan berjumlah RM4,775.

“Hasil pemeriksaan pasukan serbuan terhadap bilik sewa pasangan itu menemui 13 paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Berikutan penemuan ini, lelaki berusia 52 tahun dan teman wanitanya berusia 23 tahun berdepan hukuman mengikut Seksyen 39A (2) ADB 1952,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sahar berkata, suspek lelaki seorang duda berasal dari Taman Mei Lee, Jalan Stakan manakala teman wanitanya berusia 23 tahun dari Jalan Kuap Batu 10.

Katanya, kedua-dua mereka mempunyai rekod kesalahan lampau mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Menurutnya, suspek lelaki ditahan di lokap Balai Polis Siburan manakala teman wanitanya di lokap Balai Polis Beratok.

Disiarkan pada: June 14, 2019 @ 3:22pm
d