mutakhir

Ugut tembak adik

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

TIDAK puas hati dituduh mencuri wang RM100, seorang abang sanggup melepaskan amarah dengan cuba menembak adik perempuannya menggunakan senapang angin.

Bagaimanapun, dalam dua kejadian sama termasuk yang terbaharu kira-kira jam 8.30 malam, Selasa lalu, mangsa berusia 30 tahun bernasib baik apabila cubaan suspek menembaknya tersasar.

Sumber berkata, kira-kira jam 8 malam, Isnin lalu, suspek berusia 40-an cuba menembak adiknya menggunakan senapang angin di perkarangan rumah mereka di Tepoh, Kuala Nerus, tetapi tidak mengenai mangsa.

“Mangsa sempat lari ke dalam rumah untuk menyelamatkan diri.

“Suspek sekali lagi mengamuk dan mengulangi perbuatan sama kira-kira jam 8.30 malam, Selasa lalu, di lokasi sama kerana mendakwa masih tidak berpuas hati dituduh mencuri wang adik perempuannya itu.

“Bagaimanapun, tembakan dilepaskan suspek tersasar menyebabkan mangsa lari menyelamatkan diri bagi kejadian lebih buruk,” katanya di Kuala Terengganu, hari ini.

Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Batu Rakit bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan suspek berjaya ditahan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata iaitu senapang angin.

Disiarkan pada: June 14, 2019 @ 4:01pm
d