mutakhir

Tak mengaku cetus rusuhan

Oleh Sarah Zulkifli

LIMA penuntut kolej mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini, atas tuduhan melakukan rusuhan di sebuah taman permainan di Subang Jaya, tiga hari lalu.

Tertuduh, Aiman Aqim, Mohd Syazmeer Khan Mohd Hisham, Raziq Aiman Razali yang masing-masing berusia 19 tahun serta Muhammad Faris Azmal Mohd Azmey dan Nor Aiman Shah Che Abdul Rahman berusia 18 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Salamiah Salleh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan rusuhan di sebuah taman permainan di USJ 3A, Subang Jaya pada jam 5.30 petang, 11 Jun lalu.

Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun, mereka diwakili peguam Mohamad Yusoff memohon jaminan rendah atas alasan semua anak guamnya masih belajar dan pesalah muda.

Mahkamah kemudian membenarkan semua tertuduh masing-masing diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, rusuhan berpunca daripada pergaduhan mulut antara tertuduh yang membawa kepada kejadian berkenaan.

Disiarkan pada: June 14, 2019 @ 4:29pm
d