mutakhir

Kanak-kanak kritikal jatuh tingkat 4

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

KANAK-kanak lelaki sembilan tahun kritikal selepas patah kedua-dua kaki dan tangan akibat terjatuh dari tingkat empat sebuah pangsapuri di Bandar Baru Permai, Seri Kembangan, Serdang hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, polis menerima laporan daripada pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan Hospital Serdang mengenai mangsa yang ditemui terjatuh di bahagian bawah kediaman 11 tingkat itu.

Katanya, dalam laporan itu, pengadu memaklumkan menemui kanak-kanak lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas mendapat panggilan daripada orang awam membabitkan kes kanak-kanak jatuh bangunan.

“Pengadu bersama pasukan perubatan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 9.45 pagi tadi dan sebaik tiba di lokasi, mereka menemui kanak-kanak terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Pasukan perubatan memberikan rawatan awal sebelum membawanya ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan perubatan mendapati kanak-kanak itu cedera di bahagian kepala, perut selain pendarahan pada bahagian dalaman iaitu paru-paru.

Katanya, mangsa yang kritikal kini dirawat di zon merah Hospital Serdang.

“Siasatan awal polis mendapati mangsa tergelincir dan jatuh ke bawah ketika bermain di balkoni rumahnya di tingkat empat.

“Bagaimanapun, polis masih menyiasat sama ada terdapat elemen kecuaian dalam kejadian itu,” katanya.

Disiarkan pada: June 14, 2019 @ 5:21pm
d