mutakhir

Pemandu pelancong bantu sebar kebaikan minyak sawit

Oleh Shaarani Ismail

KEMENTERIAN Industri Utama akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan dalam membantu usaha mempromosi serta menyebarkan kebaikan minyak sawit kepada pelancong asing yang datang ke negara ini.

Menterinya, Teresa Kok berkata, ini kerana masih banyak kelebihan dan kebaikan minyak sawit yang tidak diketengahkan dan tidak diketahui bukan sahaja oleh pelancong asing tetapi juga rakyat Malaysia.

“Untuk maklumat anda semua, minggu lalu juga saya sudah menulis surat kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Datuk Mohammaddin Ketapi) dan saya juga sudah menyatakan kepada beliau secara lisan.

“Saya mahukan dan saya harap Kementerian Pelancongan dapat memasukkan maklumat berhubung kebaikan minyak sawit ke dalam latihan membabitkan pemandu pelancong.

“Jadi secara asasnya, Kementerian Pelancongan juga berasakan ia adalah sesuatu yang perlu dilakukan kerana rakyat asing dan pelancong yang datang ke Malaysia kebiasaannya akan mendengar apa diperkatakan pemandu pelancong, jadi pemandu pelancong perlu dilengkapi maklumat selengkapnya berhubung kebaikan minyak sawit.

“Hanya melalui cara itu mereka akan dapat memberitahu rakyat asing dan pelancong kebaikan yang ada pada minyak sawit untuk diketengahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat daripada Ketua Pegawai Eksekutif ExcelVite Sdn Bhd, WH Leong pada sesi lawatan beliau ke Hovid Bhd di Ipoh, Perak hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) Datuk Dr Kalyana Sundram, Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir dan Pengarah Hovid & ExcelVite, David Ho.

Katanya, pada asasnya Menteri Pelancongan sudah bersetuju tetapi biarlah pengumuman mengenai kerjasama itu diumumkan sendiri oleh beliau.

Dalam pada itu katanya, Kementerian Industri Utama akan menghantar cadangan supaya kerajaan dapat mempertimbangkan untuk memberikan lebih banyak geran penyelidikan berkaitan minyak sawit terutama dalam usaha untuk mengenengahkan kelebihan dan nutrisi yang ada pada minyak sawit.

Katanya, ketika ini nutrisi seperti vitamin E tokotrienol dan betakarotin yang ada pada minyak sawit tidak banyak didedahkan manfaat dan kebaikannya, untuk itu Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga akan dapat membantu menyediakan lebih ramai penyelidik untuk tujuan itu.

“Ketika ini, fokus lebih banyak adalah kepada isu minyak sawit yang juga komoditi ketiga terbesar negara...bagaimana kita hendak mengubah persepsi negatif terhadap minyak sawit sebagaimanayang dilakukan oleh Hovid Bhd dalam mengukuhkan keyakinan terhadap sawit melalui produk farmaseutikal dihasilkannya,” katanya.

Disiarkan pada: June 14, 2019 @ 5:25pm
d