mutakhir

RON97 turun 22 sen, RON95 dan diesel kekal

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

HARGA runcit petrol RON97 turun 22 sen kepada RM2.41 seliter, manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal RM2.08 dan RM2.18 seliter berkuat kuasa tengah malam ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, harga bahan api itu ditetapkan bagi tempoh 15 hingga 21 Jun ini berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

Beliau berkata, penurunan itu adalah berikutan harga produk petroleum diproses (refined product) di pasaran dunia yang menunjukkan trend penurunan susulan penurunan purata harga minyak mentah Brent berbanding minggu sebelumnya.

“Pada masa sama, perkembangan semasa berikutan ketegangan di rantau Teluk seperti yang berlaku

semalam juga berkemungkinan memberi kesan kepada kenaikan harga minyak dunia.

“Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh sama masing-masing sepatutnya RM2.11 seliter dan RM2.19 seliter.

“Namun, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh berkenaan adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Disiarkan pada: June 14, 2019 @ 5:26pm
d