mutakhir

Bilik rahsia atas bumbung

Oleh Zaid Salim

RAHSIA sebuah bilik di atas bumbung sebuah bangunan terbongkar apabila empat wanita Thailand yang mendiami bilik berkenaan ditahan Jabatan Imigresen yang menjalankan serbuan Ops Gegar di sebuah rumah urut di Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen (JIM) Terengganu, Rahim Hanafi berkata, sebelum berjaya mengesan bilik berkenaan yang dijadikan lokasi persembunyian wanita terbabit, pihaknya menyerbu sebuah rumah urut di jalan berkenaan jam 5.45 petang.

Katanya, ketika serbuan, pihaknya terpaksa memotong mangga pintu utama di tingkat satu selain memecahkan pintu kayu serta gril di tingkat tiga sebelum berjaya masuk ke premis berkenaan.

“Ketika pemeriksaan, empat wanita warga asing yang bekerja di rumah urut berkenaan melarikan diri melalui bumbung sebelum ke tingkat atas bangunan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, kita menemui empat wanita warga asing terbabit bersembunyi dalam bilik berkenaan yang terletak di bumbung bangunan premis bersebelahan,” katanya.

Bilik berkenaan dipercayai dijadikan bilik rahsia oleh majikan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata, semua wanita Thailand berusia 26, 31, 35 dan 37 tahun itu yang memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas.

Rahim berkata, selain premis urut, Ops Bersepadu (Sapu, Gegar, Selera, Belanja) yang diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasaan Ahmad Salihin Salleh, pihaknya turut melakukan serbuan di tapak pembinaan bangunan, kedai makan, kedai runcit, premis menjual perabot di sekitar bandaraya ini dan Marang.

Katanya, operasi disertai 17 pegawai JIM Terengganu itu berakhir 6.30 petang dan dalam operasi itu, pihaknya memeriksa seramai 69 pekerja warga asing.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 34 daripada mereka ditahan membabitkan warga Bangladesh 19 orang, Indonesia (sembilan), Thailand (empat), masing-masing seorang warga Myanmar dan China.

“Semua mereka ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 59/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri, Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas,” katanya.

Menurutnya, semua pendatang asing tanpa izin (PATI) terbabit dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang untuk siasatan lanjut.

Disiarkan pada: June 14, 2019 @ 6:28pm
d