mutakhir

Geng 'Abang Botak' tumpas

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

SINDIKET pemalsuan Mykad dan sijil kelahiran dikenali sebagai Abang Botak tumpas selepas Jabatan Imigresen Malaysia Perlis menyerbu sebuah rumah di Bukit Keteri, Padang Besar awal pagi tadi.

Pengarah Imigresen Perlis, Basri Othman berkata, dalam serbuan 1 pagi itu, pihaknya menahan lelaki warga tempatan bersama lapan lelaki warga Filipina bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, suspek berusia 39 tahun yang berasal daripada Sabah itu sudah memalsukan lapan kad pengenalan bagi membolehkan semua warga asing berusia antara 27 hingga 49 tahun berkenaan bekerja sebagai buruh binaan di sekitar negeri ini.

“Lelaki berkenaan mengenakan bayaran antara RM500 ke RM1,000 setiap individu bagi membolehkan mereka memperoleh kad pengenalan palsu.

“Pihak kami percaya, suspek mengklonkan kad pengenalan milik warga tempatan sebelum menjualnya kepada warga asing.

“Malah hasil pemeriksaan awal kami mendapati kesemua kad pengenalan itu wujud namun dimiliki oleh individu berlainan dari seluruh negara,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Imigresen Perlis, hari ini.

Basri berkata, suspek bergerak aktif lebih daripada tiga bulan di sekitar negeri ini, malah sewaktu ditahan dia bertindak agresif.

“Selain kad pengenalan dia juga sudah memalsukan sijil kelahiran dan kad mesin ATM bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Pihak kami merampas semua dokumen palsu berkaitan, sembilan unit telefon bimbit dan sejumlah kad mesin ATM sebagai bahan bukti,” katanya.

Beliau berkata, suspek dan warga asing terbabit direman antara empat hingga 14 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002),” katanya.

Disiarkan pada: June 14, 2019 @ 6:46pm
d