mutakhir

Azmin tak perlu 'bercuti' - Anwar

Oleh Fairuz Zaidan dan Amir Mamat

TIADA keperluan mendesak Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk ‘bercuti’ daripada menjalankan tugas dalam parti dan kerajaan, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan, desakan yang cuba dibangkitkan sesetengah pihak itu tidak akan memberi kesan positif kepada kepimpinan parti dan negara, sebaliknya tindakan itu hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

“Saya tidak bersetuju untuk meminta Azmin berehat sebagaimana diminta pihak tertentu, termasuk (badan bukan kerajaan) Otai Reformasi. Malah, hal itu juga tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Biro Politik PKR dalam beberapa hari lalu.

“Kita sebenarnya tidak melarang orang hendak mengkritik kerana parti ini mengamalkan budaya politik bebas. Setiap pandangan boleh dikemukakan, tetapi nasihat saya ialah kurangkan beri kenyataan dan beri laluan untuk siasatan yang sedang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Hang Tuah Jaya di Kota Fesyen, MITC di Ayer Keroh, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parliman Hang Tuah Jaya yang juga Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

Hari ini, badan bukan kerajaan (NGO) Otai Reformasi menggesa Putrajaya merehatkan Mohamed Azmin daripada tugasnya sebagai menteri susulan kontroversi klip video seks membabitkan dirinya bersama seorang lelaki.

Pengerusinya, Idris Ahmad dipetik sebagai berkata, desakan itu dibuat bagi membolehkan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan selepas aduan mengenainya dibuat.

Ditanya adakah kontroversi itu turut memberi kesan kepada beliau, Anwar berkata, dalam politik segala tohmahan sudah biasa dilaluinya sejak dulu.

“Politik ini, segala tohmahan sudah 20 tahun saya lalui. Saya tengok dalam lingkungan parti ini ia terlalu kecil. Mungkin (tohmahan) ini orang tiada kedudukan, tewas dalam pertandingan,” katanya.

Ditanya adakah keperluan untuk PKR melakukan siasatan dalam susulan klip video itu, Anwar berkata, pihaknya menyerahkan kepada Biro Politik parti dan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan sebelum sebarang tindakan diambil.

Disiarkan pada: June 14, 2019 @ 6:57pm
d