mutakhir

Pelajar maut kemalangan dengan pegawai bomba

Oleh Nor Farhani Che Ad

PELAJAR tingkatan lima maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di simpang empat lampu isyarat berdekatan Kulim Hi-Tech Park 21, Kulim, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Yusuf Shaari berkata, dalam kejadian 3.15 petang, Taqiyyuddin A`abid Azrulnizam, 17, dari Persiaran Perdana 11, Kulim Perdana meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata, penunggang sebuah lagi motosikal yang juga pegawai bomba dikenali sebagai Khairul Azrell Muhammad Jailani, 26, parah di kepala dan dada.

“Siasatan awal mendapati pelajar terbabit menunggang Modenas Kriss dari arah Taman Kulim Perdana.

“Manakala pegawai bomba yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal Pulau Pinang menunggang Yamaha LC 135 dari arah Hospital Kulim,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat punca kemalangan berlaku.

Katanya, pemeriksaan lampu isyarat di lokasi kejadian juga didapati dalam keadaan baik.

Mohd Yusuf berkata, mangsa cedera dibawa ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: June 15, 2019 @ 9:27am
d