mutakhir

Bergayut ala Spiderman di balkoni

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

BERGAYUT seperti ‘Spiderman’di tepi balkoni tingkat lapan apartmen bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Namun, perbuatan itu sia-sia apabila warga asing berkenaan berjaya ditangkap akibat keletihan selepas hampir satu jam ‘melekat’ di balkoni berkenaan.

Itu taktik digunakan seorang daripada 90 warga asing yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Kajang, malam tadi.

Operasi bermula 10.30 malam itu dianggotai 96 anggota dan pegawai imigresen dibantu 14 pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi dilancarkan hasil maklumat dikongsi persatuan penduduk.

“Dalam operasi ini, kami menahan warga asing terdiri daripada 78 warga negara Nigeria, Pakistan (1), India (1), Filipina (6) serta empat kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun.

“Mereka (warga Nigeria) didapati membuat bising, mabuk serta menimbulkan rasa tidak selesa kepada penduduk tempatan,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat operasi itu.

Beliau berkata, kebanyakan yang ditahan melakukan kesalahan seperti pas tamat tempoh, tiada dokumen pengenalan diri sah dan menjalankan perniagaan.

Katanya, pihaknya terpaksa memecahkan pintu apartmen kerana tidak mendapat kerjasama dari warga asing yang dipercayai menjalankan aktiviti penipuan (scammer).

“Kami mendapati, terdapat sebahagian warga asing ini menjalankan aktiviti penipuan terhadap warga tempatan susulan penemuan laptop yang memaparkan maklumat mencurigakan.

“Pihak kami akan terus menjalankan operasi seperti ini secara lebih agresif kerana rakyat tempatan tidak selesa dengan kedatangan warga asing ini yang menimbulkan kacau ganggu,” katanya.

Dalam serbuan berasingan, JIM turut menahan 40 warga asing di Puchong dan semua tahanan terbabit dibawa lokap JIM Putrajaya sebelum dibawa ke Depot Tahanan Imigresen di Bukit Jalil atau Semenyih, Selangor.

Disiarkan pada: June 15, 2019 @ 11:10am
d