mutakhir

Cari pasal simpan rantai peluru

Oleh Zuliaty Zulkiffli

LELAKI berusia 33 tahun ditahan polis kerana memiliki sebutir peluru yang diubahsuai menjadi rantai di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Padang Lalang, Mukim Ayer Hangat, Langkawi, semalam.

Suspek ditahan jam 12.30 tengah malam selepas polis melakukan pemeriksaan di bengkel bot di rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya datang ke kediaman itu yang mana bapa suspek berusia 55 tahun berada di dalam rumah.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam bilik anaknya menemui sebutir peluru yang dipercayai diubah suai menjadi rantai.

Katanya, hasil soal siasat terhadap anaknya, dia mengaku barang itu miliknya sebelum ditahan manakala peluru itu dirampas untuk siasatan lanjut.

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis morfin.

“Bagaimanapun siasatan lanjut mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, suspek memberitahu rantai berbentuk peluru itu dibelinya ketika melancong ke Hatyai, Thailand.

Berikutan itu katanya, suspek ditahan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 15(1)(A),ADB 1952 untuk membantu siasatan.

Disiarkan pada: June 15, 2019 @ 2:47pm
d