mutakhir

'Wira Angkasa' lepasan diploma

Oleh Balqis Jazimah Zahari

TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) mensasarkan pengambilan lebih ramai anggota dalam kalangan lulusan diploma bagi menyertai pasukan itu pada masa hadapan.

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tan Sri Affendi Buang berkata, pihaknya pada ketika ini memang memberi fokus mengambil mereka dalam lulusan berkenaan bagi mengembangkan kekuatan dan keupayaan angkatan itu.

“Jika dilihat sebelum ini, kami mengambil anggota daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun sejak dua pengambilan lalu, kami sudah mula mengambil (lebih ramai) mereka yang mempunyai kelulusan diploma bagi mendapatkan anggota tentera udara berkelayakan.

“Sekarang ini, kami sudah memilih lebih ramai mereka daripada lulusan diploma untuk menyertai TUDM, Insya-Allah pada masa akan datang kita mensasarkan pengambilan dipenuhi mereka berkelulusan diploma,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Udara Siri (PjM U) 60/19 di Padang Kawad Akademi Tentera Udara Ipoh, Ipoh, hari ini.

Hadir sama Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Ashgar Khan Goriman Khan.

Seramai 336 pelatih berjaya menamatkan latihan selama 24 minggu bermula 1 Januari lalu.

Affendi berkata, beliau menyeru belia terutama lulusan diploma mengambil peluang menceburkan diri dalam kerjaya TUDM yang menyediakan bidang pengkhususan membabitkan teknologi canggih.

Beliau berkata, latihan adalah medan dan langkah menyediakan anggota bagi melaksanakan pelan jangka panjang iaitu Pelan Rancangan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55) yang diperkenalkan tahun lalu.

“Di peringkat ini, kami menyediakan mereka dengan ilmu dan kepakaran ditetapkan supaya kita lebih maju ke hadapan bersama aset canggih dan berkeupayaan tinggi.

“Di situlah kami memerlukan keupayaan mereka untuk bersedia menjadi seorang yang boleh menentukan keupayaan aset untuk digunakan dengan betul,” katanya.

Affendi pada majlis berkenaan turut menyampaikan Anugerah Perajurit Muda Udara Terbaik Keseluruhan kepada Khairul Fauzan Abd Rahman yang menerima Piala Pusingan Panglima Tentera Udara.

Anugerah Perajurit Muda Udara Akademik Terbaik milik Ardi Mansyah Rahman@Latman yang menerima Piala Pusingan Panglima Pendidikan dan Latihan Udara manakala Anugerah Perajurit Muda Udara Penembak Terbaik dinibatkan kepada J Andrew Prakash yang menerima Piala Pusingan Asisten Ketua Staf Tadbir.

Flait keseluruhan terbaik pula dinobatkan kepada Flait Bravo yang menerima Piala Pusingan Komandan.

Disiarkan pada: June 15, 2019 @ 3:11pm
d