mutakhir

'Saya sangka ular, rupanya rumah terbakar'

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

“SAYA sangka anak dan isteri menjerit sebab nampak ular, rupa-rupanya rumah kami terbakar,” kata Samsol Baharin Mohd Saat, 51, yang kediamannya musnah dalam kebakaran di Tebok Matau, Simpang Empat Semanggol, Bagan Serai semalam.

Dalam kejadian 4.40 petang itu, Samsol Baharin bersama beberapa penduduk sedang membuat persiapan di Dewan Orang Ramai bersebelahan rumahnya untuk digunakan sebagai lokasi jamuan hari raya penduduk kampung itu hari ini.

“Saya hairan dan terkejut melihat anak dan isteri berlari ke arah kami sambil menjerit meminta tolong.

“Saya sangka mereka ternampak ular di rumah kami kerana sebelum ini rumah kami imasuki ular.

“Saya tergamam selepas anak menunjukkan rumah kami sedang terbakar,” katanya.

Samsol Baharin ditemui hari ini selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri.

Samsol Baharin berkata, keseluruhan rumahnya musnah dalam kejadian itu dengan kerugian dianggarkan RM60,000 namun dia bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat.

Sementara itu, Noor Azmi dalam kunjungannya menyerahkan bantuan awal dari Pusat Khidmat Parlimen Bagan Serai bernilai RM500 bersama beberapa barangan keperluan selain turut menyerahkan bantuan melalui Tabung Bencana Daerah berjumlah RM2,000.

Disiarkan pada: June 15, 2019 @ 3:26pm
d