mutakhir

Remaja sarat hamil jatuh sungai

Oleh Muhammad Apendy Issahak

SEORANG remaja perempuan yang hamil lapan bulan patah kaki kanan selepas dipercayai terjatuh di Sungai Kinta dari jambatan di Tanjung Rambutan, Ipoh, malam tadi.

Dalam kejadian 9.50 malam, mangsa berusia 18 tahun terjatuh ke sungai sedalam kira-kira 0.5 meter dan dasarnya berbatu sebelum diselamatkan seorang lelaki dipercayai suaminya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 9.53 malam sebelum dua jentera termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh segera dikerah ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, mangsa ditemui sudah dibawa ke tebing sungai oleh suaminya dan pihak bomba tidak mengetahui punca sebenar remaja perempuan terjatuh.

“Bomba kemudian bertindak memberi rawatan kecemasan awal sebelum mangsa dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dengan menaiki jentera EMRS.

“Operasi menyelamat berakhir jam 10.47 malam,” katanya.

Disiarkan pada: June 15, 2019 @ 4:21pm
d