mutakhir

Bapa saudara tiri durjana

Oleh Muhammad Apendy Issahak

SEORANG janda muda berusia 24 tahun menjadi mangsa nafsu serakah bapa saudara tirinya selepas dipercayai dirogol suspek dalam dua kejadian berasingan di rumah sepupu mangsa di Seberang Perak, Sri Iskandar, awal Mei dan Khamis lalu.

Suspek seorang pekebun berusia 55 tahun juga dipercayai mengugut tidak akan membantu membawa mangsa berjumpa anaknya yang menetap bersama bekas suami jika tidak menuruti kehendaknya.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, perbuatan suspek terbongkar apabila mangsa mengadu perkara itu kepada abangnya yang kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Rungkup pada 12.30 tengah malam, Khamis lalu.

“Abang mangsa berusia 45 tahun ke balai polis untuk membuat laporan mengenai bapa saudara tirinya yang dipercayai merogol adiknya.

“Adik perempuannya yang berlainan ibu adalah seorang janda dan mengalami tekanan jiwa. Suspek didakwa kali pertama merogol mangsa sebelum Ramadan lalu di rumah sepupu mangsa lebih kurang jam 9 malam.

“Terbaru, suspek dipercayai sekali lagi merogol mangsa Khamis lalu kira-kira jam 3 petang di lokasi sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, abang mangsa yang mendapat tahu mengenai kejadian itu kemudian bertindak ke rumah suspek pada 9 malam hari sama untuk berbincang mengenai perkara itu, namun bapa saudara tiri menafikan dan terus bertindak agresif.

“Seterusnya berlaku pertengkaran dan dengan bantuan penduduk kampung, suspek ditangkap serta dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

“Suspek kemudian diserahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai dirogol sebanyak dua kali oleh saspek sama iaitu pada awal Mei (tarikh sebenar kejadian mangsa tidak ingat) dan Khamis lalu di tempat sama iaitu di rumah saudara mangsa di Seberang Perak.

“Mangsa juga dipercayai diugut suspek menyebabkan mangsa terpaksa bersetuju melakukan hubungan seks demi menjaga keselamatan diri,” katanya.

Katanya, semakan mendapati mangsa pesakit Schizophrenia sejak berusia 16 tahun dan masih menerima rawatan di Klinik Kesihatan Sungai Sumun serta mengambil ubat penenang setiap hari.

“Mangsa kini dihantar ke Hospital Manjung untuk pemeriksaan manakala suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: June 15, 2019 @ 5:10pm
d