mutakhir

'Biarkanlah saya di sini...'

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

“SAYA berada di sini bukan sebab dibuang keluarga, sebaliknya atas kerelaan sendiri kerana tidak mahu menyusahkan mereka,” kata warga emas Tengku Ali Tengku Chik, 83.

Tengku Ali berkata, dia tinggal di Rumah Seri Kenangan, Taman Kemumin, Kota Bharu sejak 10 tahun lalu selepas hampir seminggu memujuk adiknya untuk membawanya tinggal di situ.

Katanya, selepas kematian isterinya pada 2003 kerana penyakit kanser payudara, dia yang tidak dikurniakan cahaya mata tinggal di Terengganu.

“Selepas tiga bulan arwah isteri meninggal dunia, saya terbabit dalam kemalangan jalan raya dan berada di hospital hampir dua bulan sebelum dua adik yang menetap di negeri itu menjaga dan menguruskan segala keperluan saya.

“Memikirkan keadaan diri sudah tua dan tidak mahu menyusahkan mereka, saya mengambil keputusan untuk tinggal bersama penghuni di rumah ini yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri.

“Saya gembira dan tenang berada di sini, biarlah saya menghabiskan hayat di rumah kebajikan ini,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Hari Raya Aidilfitri Jalinan Kasih Bersama Penghuni Rumah Seri Kenangan, Kemumin, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK), Ruslan Ludin.

Seorang lagi penghuni, Mek Yam Omar, 66, berkata, dia menghuni rumah kebajikan berkenaan sejak enam tahun lalu disebabkan sukar hidup bersendirian selepas kedua-dua matanya tidak dapat melihat.

“Mata saya menjadi buta sejak 14 tahun lalu kerana penyakit saraf dan keadaan ini menyebabkan saya meminta pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil saya untuk ditempatkan di rumah ini.

“Saya mempunyai dua anak, namun salah seorang sudah meninggal dunia. Seorang lagi anak yang tinggal di Johor ada datang menjenguk apabila pulang ke sini,” katanya.

Sementara itu, Ruslan berkata, ini adalah tahun pertama pihaknya mencari kelainan dalam sambutan hari raya yang diraikan bersama warga emas yang menghuni Rumah Seri Kenangan itu.

“Kami cuba sebaik mungkin memberi keceriaan kepada penghuni di sini dan mahu mereka merasai sambutan hari raya seolah-olah bersama keluarga sendiri.

“Walaupun ada di antara mereka diabaikan anak atau keluarga, sekurang-kurangnya masih ada yang mengambil berat mengenai mereka,” katanya.

Disiarkan pada: June 15, 2019 @ 5:28pm
d