mutakhir

Penting diri halang laluan jentera penyelamat [METROTV]

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

TINDAKAN seorang pemandu wanita meletakkan kereta di hadapan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam menjejaskan tugasan pasukan penyelamat membantu mangsa kemalangan jalan raya di Sabak Bernam, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, empat anggota bomba terpaksa cuba menolak dan mengalihkan kereta Toyota Vios selama hampir empat minit.

Insiden itu turut tular di media sosial menerusi rakaman video berdurasi 12 saat memaparkan usaha bomba mengalihkan kereta berkenaan.

Rata-rata netizen mengecam tindakan pemandu kereta berusia lingkungan 30-an yang disifatkan tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri selain perlu dikenakan tindakan sewajarnya kerana menghalang tugas penjawat awam.

Ketua BBP Sabak Bernam, Mohd Saufi Zakaria berkata, kejadian itu kali pertama berlaku membabitkan pihaknya terutama ketika mahu bertugas memberi bantuan kecemasan.

“Ia mengakibatkan kita terpaksa mengambil masa 12 minit untuk tiba di lokasi kemalangan di Jalan Haji Suhaimi, Sepintas, berbanding jangka masa kurang 10 minit.

“Selain itu, tiada sebarang alasan diberikan pemandu kerana meletakkan kereta di hadapan balai bomba,” katanya kepada Harian Metro.

Mohd Saufi berkata, tindakan seumpama itu tidak sepatutnya berlaku kerana membabitkan tugasan penjawat awam.

“Kita berharap orang ramai lebih prihatin dengan tugas bomba tanpa mengira waktu memberi khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.

Difahamkan, balai bomba itu menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan jalan raya membabitkan Perodua Kancil dan motosikal di Jalan Haji Suhaimi.

Disiarkan pada: June 15, 2019 @ 5:47pm
d