mutakhir

Kantoi seludup 15,640 karton rokok

Oleh Hasbi Sidek

HASRAT seorang lelaki mengaut keuntungan hasil jualan rokok seludup tidak kesampaian apabila ditahan bersama 15,640 karton rokok dekat Nilai, Negeri Sembilan, semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, nilai rampasan rokok dianggarkan berjumlah RM2,158,634.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati lelaki berusia 36 tahun bergiat aktif dalam aktiviti pengedaran rokok seludup di sekitar Lembah Klang, malah semakan mendapati suspek turut mempunyai rekod jenayah membabitkan kekerasan.

“Bertindak atas maklumat, Bahagian Perisikan dan Siasatan Khas JKDNKA Bukit Aman melancarkan satu operasi menerusi Ops Asap di Nilai membabitkan satu sindiket pengedaran rokok seludup yang bergiat aktif di Lembah Klang.

“Dalam operasi ini, seorang lelaki tempatan berjaya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sejumlah 15,640 karton rokok seludup pelbagai jenama turut dirampas bersama sebuah lori jenis Daihatsu.

“Nilai rampasan rokok selepas cukai ditaksirkan berjumlah RM2,158,624. Jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM2,228,624.

“Suspek kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai selama tujuh hari bermula 14 hingga 20 Jun.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Disiarkan pada: June 15, 2019 @ 6:43pm
d