mutakhir

Tun M dijemput ke Palestin

Oleh Nur Lela Zulkipli

PRESIDEN Palestin, Mahmoud Abbas menjemput Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menziarahi negara itu sebagai tanda solidariti dan sokongan terhadap mereka.

Jemputan itu disampaikan oleh wakilnya, Ketua Hakim Palestin, Dr Mahmoud Sidqi Al-Habbash ketika kunjungan rasmi ke Malaysia bermula Rabu lalu.

Turut menerima kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Mahmoud Sidqi berkata, kedatangan Dr Mahathir ke Palestin dengan melawat bandar lain di negara itu mampu membuktikan sokongan Malaysia terhadap isu yang melanda Palestin sejak sekian lama.

“Pada Rabu lalu, saya berjumpa Tun M (Dr Mahathir) bagi membincangkan isu Palestin dalam aspek politik dan keputusan Amerika Syarikat terhadap serangan yang dilakukan terhadap negara itu.

“Selain itu, kita juga menjemput Mujahid ke Palestin dan pihaknya sudah pun menyatakan persetujuan dan kini dalam proses merangka perjalanan ke sana tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Duta Besar Palestin di Malaysia, Walid Abu Ali dan Pengerusi Yayasan Al Aqsa, Suwardi Yaacob di Pejabat Kedutaan Besar Palestin di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pertemuan dengan Mujahid juga, Mahmoud Sidqi turut menyatakan bentuk kerjasama berterusan antara Palestin dan Malaysia dalam bidang al-Quran dan juga program pertukaran ulama ke Malaysia.

“Selain usaha memperkukuhkan hubungan Palestin dan Malaysia, kita juga menggalakkan kedatangan rakyat Malaysia ke Palestin sebagai tanda sokongan terhadap isu (pergolakan dengan Israel) yang sedang kami alami.

“Kita perlu sedar bahawa dalam isu Palestin, ia adalah isu dunia dan menjadi tanggungjawab masyarakat dunia untuk menyertai usaha Palestin bagi membawa keamanan dan mengelak kerosakan di negara Timur Tengah,” katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2019 @ 12:19am
d